Salam Ukhwah & Salam Persahabatan Buat Semua

Firman Allah Yang bermaksud:

"Wahai umat manusia! sesungguhnya kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (beramah mesra antara satu sama lain)..."

(al-hujurat: 13)

Thursday, June 30, 2011

lirik lagu

Kau Yang Satu
Artist: Ramli Sarip
Kaulah Yang Maha Esa
Kaulah Yang Maha Pengasih
Kaulah Yang Maha Penyayang
Tiada hidup tanpaMu

Kaulah Yang Maha Agung
Kaulah Yang Maha Mengetahui
Tuhan dunia akhirat
Tiada aku tanpaMu

Bilaku rasa pilu
Bilaku rasa resah
Bilaku kekosongan
Kau tempatku mengadu
OH Tuhan yang satu
Engkaulah Tuhan yang satu

Segala puji-pujianku
Tujukan padaMU..padaMU
Dan hidup dan matiku hanyalah
UntukMu..untukMu...untukMU

Lagu Kau Yang Satu yang dinyanyikan oleh penyanyi lagenda rock Ramli Sarip jika kita hayati senikata dan lirik lagunya pasti tersentuh jiwa. Walaupun lagu ini dinyanyikan oleh seorang penyanyi rock apa yang penting masej yang ingin disampaikan dalam lagu ini amat berkesan kerana penyanyi yang menyanyikan lagu ini ingin menyatakan kepada mereka yang mendengarnya agar mengenali tuhan pencipta alam.

Dalam lagu ini penyanyi ingin menyampaikan tentang keesaan Allah pencipta alam. Penyanyi juga ingin mengagongkan Allah dengan menyatakan Allah yang maha Esa (kuasa),maha pengasih dan maha penyayang dan sesungguhnya manusia tidak akan ada di dunia ini dan tidak akan dapat hidup tanpa Allah yang maha kuasa.

Lagu ini juga menyatakan tentang keagungan dan kekuasaan tuhan dan beriman dengan Allah sampai bila-bila dan sesungguhnya penyanyi percaya dan yakin kita semua tidak akan ada dan tidak akan hidup di dunia ini sekiranya Allah tiada. Kerana dunia ini tidak akan wujud sekiranya tiada pencipta dan hanya Allah tuhan sekelian alam dan berkuasa ke atas setiap apa yang diciptakanNya.

Penyanyi juga menyatakan tentang kebergantungan hidup dan menyerah diri sepenuhnya kepada tuhan apabila ditimpa musibah dan apabila memerlukan sesuatu pertolongan dan yakin hanya Allah sahaja yang dapat menyelamat dan mendengar serta menunaikan segala hajat dan permintaan hambanya. Penyanyi penuh yakin bahawa tiada sesuatu yang lebih berkuasa di dunia ini melainkan Allah yang maha esa iaitu tuhan yang satu dan tiada tuhan lain melainkan Allah.

Akhir sekali penyanyi ingin menyatakan bahawa segala puji-pujian hanya untuk Allah tuhan yang mentadbir alam dan yakin bahawa hidup dan mati hanya milik Allah. Hanya Allah yang layak menghidup dan mematikan seseorang dan tiada apa yang lebih kuasa lagi di dunia ini melainkan Allah.

Dakwah bukan sahaja dapat disampaikan melalui ceramah, tazkirah malah bermacam-macam cara dapat kita lakukan antaranya seperti melalui lagu (muzik). Tidak menjadi satu kesalahan sekiranya seseorang menyampaikan dakwah melalui seni muzik selagi mana ia tidak mendatangkan kelalaian dan sekiranya dengan cara ini ia dapat menarik minat orang ramai mengenali islam dan mentaati Allah.


Pergi Tak Kembali
Album :
Munsyid : Rabbani
http://liriknasyid.com

Setiap insan pastikan merasa
Saat perpisahan terakhir
Dunia yang fana akan ditinggalkan
Hanya amalan yang akan dibawa

Terdengar sayup surah dibaca
Sayu alunan suara
Cemas di dada lemah tak bermaya
Terbuka hijap di depan mata

Selamat tinggal pada semua
Berpisah kita selamanya
Kita tak sama nasib di sana
Baiklah atau sebaliknya

Amalan dan taqwa jadi bekalan
Sejahtera, bahagia pulang...kesana

Sekujur badan berselimut putih
Rebah bersemadi sendiri
Mengharap kasih anak dan isteri
Apa mungkin pahala dikirim

Terbaring sempit seluas pusara
Soal bicara terus bermula
Sesal dan insaf tak berguna lagi
Hancurlah jasad dimamah bumi

Berpisah sudah segalanya
Yang tinggal hanyalah kenangan
Diiringi doa dan air mata
Yang pergi takkan kembali lagi


Pergi tak kembali merupakan lagu nasyid yang di nyanyikan oleh kumpulan nasyid yang mengelarkan diri mereka Rabbani. Sekiranya kita amati dan hayati lagu ini sudah pasti kita akan berasa takut dan insaf dengan apa yang disampaikan dan sudah pasti akan mengingatkan kita semua tentang kematian yang akan menjemput kita semua. Walaupun kita semua maklum setiap yang hidup akan merasai mati tetapi dengan adanya lagu seperti ini lebih mengingatkan lagi kita tentang kematian dan berharap kita semua bersedia untuk mati.

Dalam lagu ini ia ingin menjelaskan kepada kita semua tentang kematian, apabila tibanya saat ini apa sahaja yang kita miliki akan ditinggalkan dan hanya amalan sahaja yang akan dibawa bersama dengan kita samaada amalan baik mahupun sebaliknya.

Apa yang ingin dinyatakan juga apabila tibanya saat kematian kita akan berasa sangat takut dan gementar serta perasaan sayu juga akan dapat dirasai kerana hendak meninggalkan segala macam yang dimiliki di dunia ini. Perasaan takut dan gementar ini juga terjadi kerana Allah akan menampakkan kepada kita apa yang akan kita miliki di akhirat nanti.

Apabila tibanya saat kematian seseorang maka terputuslah hubungan diantara yang hidup dengan yang mati buat selama-lamanya dan pada masa ini tiada siapa lagi yang boleh menolong kita kerana hanya taqwa dan amalan sahaja yang akan menentukan kita dimana tempat kita samaada syurga dan neraka. Sesungguhnya nasib seseorang tidak sama seperti di dunia kerana bekalan amal yang di bawa yang akan membahagiakan seseorang insan.

Lagu ini juga mengambarkan tentang keadaan mereka yang meninggal dunia dimana kita akan bersendirian di dalam kubur dan mungkin akan mengharapkan pahala yang dikirimkan oleh anak dan isteri sekiranya tidak mempunyai amalan yang cukup dan tidak semestinya pahala yang diharapkan itu akan dikirimkan dan sampai kepada kita. Selain itu lagu ini juga menceritakan tentang keadaan jasad di dalam kubur yang mana setiap orang tidak akan terlepas dengan soalan dari mungkar dan nakir. Pada masa ini segala penyesalan dan keinsafan sudah tidak berguna lagi dan segala permintaan kita tidak akan didengari lagi sehinggalah jasad kita habis dimamah bumi.

Lagu ini juga mengambarkan tentang perpisahan yang terjadi disebabkan kematian yang mana seseorang itu akan berpisah dengan mereka yang disayangi buat selama-lamanya dan hanya kenangan sahaja yang tinggal dan hanya doa dan air mata sahaja yang mampu dibuat kerana setiap yang mati tidak akan kembali buat selama-lamnya.

Unsur dakwah yang ingin disampaikan di dalam lirik lagu ini ialah kita hendaklah sentiasa bersiap sedia menghadapi saat kematian kerana setiap yang hidup akan merasai saat kematiaan dan segala apa yang kita miliki akan kita tinggalkan dan kita akan bertanggung jawab dengan setiap apa yang kita lakukan dan kita kena ingat bahawa kita akan dipersoal dengan apa yang kita lakukan dan inilah yang akan menentukan nasib kita samaada untung ataupun rugi (syurga atau neraka) di akhirat nanti.

puisi

Hakikat Kehidupan


Hidup di dunia ini
Umpama roda yang berputar

Berputar mengelilingi alam
Mengikut landasan yang ditetapkan

Begitulah juga hakikat manusia
Bepusing mengikut putaran alam

Adakalanya kita di atas
Adakalanya kita di bawah

Apabila musibah mendatang
Jangan lupa asal kejadian seseorang

Apabila mencapai kemenangan
Rasa syukur pada tuhan pencipta alam

Hidup tidak selama-lamanya
Mati tidak selama-lamanya

Hidup pasti merasai mati
Mati sudah semestinya pasti

Itulah hakikat kejadian insan
Sebagai hamba tuhan
Sehingga akhir zaman


Kenal Makrifat

Kita tidak dapat mencipta
Walau setitik cahaya

Setitik cahaya
Terpercik dari jutaan titik sinar

Dalam setitik sinar
Wujudnya lautan makrifat

Luasnya tidak terjangkau
Bumi dan matahari sebesar debu

Dari setitik lautan makrifat
Terpancar nur hakikat

Dalam setitik nur hakikat
Terbentang luas lautan wujud

Dasarnya tidak terjangkau
Tenggelam buruj dan langit

Lautan wujud itu
Tenang jernih dalam qalbumu
Pernahkah kau selami?


Kejadian Manusia

Tanah asal kejadian setiap insan
Samada lelaki mahupun perempuan
Bermacam ragam dan kepercayaan
Yang diamal dalam kehidupan.

Sememangnya Adam dijadikan tuhan
Untuk mentadbir seluruh alam
Dijadikan Hawa sebagai teman
Bagi menghibur hati yang suram.

Akibat terbawa hasutan syaitan
Mereka berdua mendekati pohon terlarang
Melanggar janji yang dikotakan
Lupa semua pantang larang

Kekuasaan tuhan tiada tandingan
Menemukan mereka setelah berjauhan
Inilah dia janji tuhan
Menjadikan manusia hamba tuhan

Dicampak tuhan angkara syaitan
Menanggis keduanya siang dan malam
Kekuasaan tuhan tiada tandingan
Ditemukan tuhan setelah diampunkan.

Monday, June 20, 2011

Cerita Nabi Daud A.S

KISAH NABI DAUD A.S

Sesungguhnya kisah nabi Daud a.s yang diceritakan di dalam al-Quran merupakan satu kisah yang benar untuk dijadikan pedoman bagi umat selepasnya. Sebagaimana firman Allah di dalam Surah Ali Imran ayat 62:

Maksudnya:
"Sesungguhnya Ini adalah kisah yang benar, dan tak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Allah; dan Sesungguhnya Allah, dialah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana" .

Daud bin Yisya’diberi nama,
Anak bongsu tajam ajalnya,
Bermata biru rendah orangnya,
Sedikit rambut bersih hatinya.

Nabi Ibrahim keturunan baginda,
Kitab zabur mukjizat mulia,
Empat puluh tahun menyeru umatnya,
Agar beriman kepada yang Esa.

Diriwayatkan bahawa nama nabi Daud telah disebut di dalam al-Quran sebanyak 16 kali. Dan sudah semestinya kisahnya amat menarik sekali. Antaranya ialah di dalam Surah Al-Baqarah, An-Nisa’, Al-Maidah, Al-An’am, Al-Anbiya’, An-Namlu, saba’dan shaad.

Semenjak kecil lagi nabi Allah daud suka bermain dengan lastik dan amat mahir serta handal penggunaannya. Dengan kehendah Allah yang maha kuasa, kemahiran menggunakan lastik sejak kecil telah menjadi senjata baginya menentang jalut yang zalim lagi kejam. Walaupun ketulan batu yang menjadi peluru, namum kuasa Allah yang menentukan segalanya. Disebabkan kepintaran dan kekuatan baginda yang luar biasa namum jalut yang dan tenteranya dapat dikalahkan baginga dengan begitu mudah tanpa banyak halangan. Bak kata pepatah kecil-kecil cili padi, diam-diam ubi berisi dan jangan disangka kesil itu anak dan besar itu bapa. Maka janganlah memandang rendah pada mereka yang lemah.

Suara merdu tiada tandingnya,
Angin menghembus, bayu mengelus,
Burung dan gunung turut bersama,
Bertasbih memuji Allah yan Quddus.

Bekerja sendiri amalan baginda,
Bijak melentur, mencairkan besi,
Pelbagai alatan dapat dicipta,
Kemahiran yang ada anugerah Illahi.

Kehebatan nabi Daud bukan sahaja dapat melenturkan besi dengan jarinyanya, namum baginda juga dianugerahkan juga dengan suara yang sungguh lunak dan merdu. Perkara ini dapat dilihat melalui firman Allah di dalam al-Quran yang bermaksud.


“Dan Sesungguhnya Telah kami berikan kepada Daud kurnia dari kami. (Kami berfirman): "Hai gunung-gunung dan burung-burung, bertasbihlah berulang-ulang bersama Daud", dan kami Telah melunakkan besi untuknya, (yaitu) buatlah baju besi yang besar-besar dan ukurlah anyamannya; dan kerjakanlah amalan yang saleh. Sesungguhnya Aku melihat apa yang kamu kerjakan.”

Keistimewaan yang dimiliki oleh baginda nabi Daud merupakan bukti keagungan dan kekuasaan Allah selaku maha pencipta. Kehebatan dan kebesaran Allah ada dimana-mana jika kita bijak menaakul dan mengkajinya. Lihat sahaja kebesaran Allah ada dimana-mana seperti kalimah yang terdapat pada ikan, daging, pokok, dan banyak lagi yang membuktikan pada kita tentang kekuasaan Allah taala selaku pencipta. Sebagai contoh yang membuktikan Allah maha berkuasa ialah kejadian Tsunami yang membawa gulungan ombak yang mengunung tingginya, mampu membinasa dan memusnahkan tempat kediaman di beberapa Negara Asia dan menampakkan corak kemusnahan itu berbentuk kalimah Allah.

Kitab Zabur kurniaan Allah,
Berisi petunjuk dan juga bimbingan,
Orang yang sakit menjadi sembuh,
Apabila baginda mengalun melagukan.

Di dalam al-Quran, surah Al-Israa’ ayat 55, Allah telah berfirman yang bermaksud:

“Dan Tuhan-mu lebih mengetahui siapa yang (ada) di langit dan di bumi. Dan Sesungguhnya Telah kami lebihkan sebagian nabi-nabi itu atas sebagian (yang lain), dan kami berikan Zabur kepada Daud.”

Ya, alangkah baiknya jika umat Islam sekarang ini memperbanyakkan lagu-lagu yang berunsur dakwah dan ketuhanan yang dilagukan dengan suara merdu dan asyik agar hati manusia menjadi cair dan bersemangat untuk beribadat dan mengabdikan diri kepada Allah.

Bagi menambahkan lagi hikmah dan ilmu pengetahuan kepada nabi Daud Allah telah memerintahkan dua malaikat untuk bertemu dengan nabi Daud. Maka pergilah kedua-dua malaikat untuk bertemu dengan nabi Daud. Lalu menjelmalah dua malaikat tadi menjadi dua orang saudara yang sedang bergaduh. Kedua-dua malaikat datang kepada nabi Daud dan meminta supaya nabi Daud menyelesaikan masalah mereka.

Berkatalah salah seorang daripada mereka: “wahai daud, saudaraku ini memiliki 99 ekor kambing, sedangkan aku mempunyai seekor kambing sahaja. Dia sangat tamak dan ingin memiliki kambingku. Aku seorang yang miskinsedangkan dia seorang yang kaya. Tolonglah kembalikan kambingku itu.”

“Engkau telah berlaku zalimkepada saudaramu. Pulangkan kambing itu kepadanya.”kata nabi Daud tanpa berfikir panjang.

Berkatalah saudara yang seorang lagi: “Bagaimana mungkin tuan menjatuhkan hukuman sedangkan tuan belum mendengar lagi penjelasan saya selaku orang yang didakwa?.

Tersentak Nabi Daud mendengar kata-kata itu lantas tersentaklah baginda mendengar kata-kata itu dan baru diketahui yang mereka berdua adalah malaikat utusan Allah. Tanpa berfikir panjang baginda telah sujud memohon keampunan kepada Allah di atas kesilapannya dalam membuat keputusan secara terburu-buru.

Lihatlah bertapa maksumnya para nabi. Mereka segera bertaubat apabila menyedari melakukan kesalahan dalam kehidupan seharian mereka. Kita sebagai manusia biasa sudah semestinya mempunyai banyak kesalahan yang dilakukan samada secara sengaja mahupun tidak. Jadi janganlah ditunggu untuk memohon ampun daripada Allah kerana dikhuatiri tidak sempat hendak memohon keampunan daripada Allah. Bersegeralah bertaubat dan beristigfar di atas kesilapan yang kita lakukan. Rentetan daripada itu Allah telah menurunkan wahyu bagi membetulkan kesilapan baginda. Allah telah berfirman di dalam surah Shaad ayat 26 yang bermaksud:


" Hai Daud, Sesungguhnya kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi, maka berilah Keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, Karena ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat darin jalan Allah akan mendapat azab yang berat, Karena mereka melupakan hari perhitungan."

Asas yang digariskan Allah di dalam al-Quran ini telah dijadikan panduan di dalam system perundangan kita sekarang dimana kedua-dua belah pihak berhak untuk mempertahankan diri masing-masing agar dapat dihakimi dengan seadil-adilnya.

Begitulah secebis kisah yang dapat diambil daripada kisah nabi Daud dan diharap ianya dapat dijadikan pedoman dan tauladan dan menjadi iktibar kepada setiap insan dalam menjalani liku-liku kehidupan di alam fana ini.

Tuesday, June 1, 2010

KEPENTINGAN PERKAHWINAN

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “ Wahai pemuda-pemuda sekalian, sesiapa di kalangan kamu yang berkemampuan dari segi al-Baah maka berkahwinlah. Mereka yang tidak mampu berpuasalah, sesungguhnya puasa dapat mengurangkan syahwat yng mendesak supaya berkahwin”(Ibn Hajar al-Asqalani 19; 128)

Al-Baah yang dimaksudkan dalam hadis tersebut iaitu “ saraan hidup keluarga” atau nafkah zahir. Nafkah batin tidak timbul dalam soal ini sebabRasulullah meminta orang yang tidak berkemampuan dari segi nafkah zahir supaya mengelakkan perkahwinan melalui amalan puasa. Mereka berkenaan sudah tentu kaya tentang nafkah batin, jika tidak Rasulullah s.a.w tidak menyuruh mereka berpuasa semata-mata kerana mengurangkan keinginan yang kuat untuk berkahwin.

Maksud hadis di atas juga membuktikan bahawa perkahwinan menurut islam bukan semata-mata untuk tujuan memenuhi kehendak nafsu lelaki dan wanita yang ingin berkahwin, tetapi dilihat pada kesan sesuatu perkahwinan yang bakal diadakan. Jika terdapat petanda sesuatu perkahwinan itu akan menyebabkan bahaya kepada pasangan dan zuriat mereka, maka pasangan berkenaan disuruh berikhtiar dan berusaha mengatasi punca-punca masalah yang menyebabkan berlakunyademikian. Perkara ini terkandung dalam maksud hadis di atas, di mana Rasulullah s.a.w menyuruh pemuda berkeinginan kuat untuk berkahwin agar berpuasa hingga keadaan ekonominya kukuh dan mampu menyara ahli keluarganya setelah dia berkahwin dan mempunyai zuriat.

Jika diteliti maksud hadis tersebut ternyata bahawa islam mengutamakan kesejahteraan awam, masyarakat dan negara selain kepentingan individu. Ini bukan bermakna Islam melarang orang fakir atau miskindari berkahwin kerana tidak mampu menyara keluarga, tetapi melarang perkahwinan yang membawa kemudaratan kepada keluarga. Menurut hadis tersebut larangan kepada perkahwinan yang berkemungkinan membawa bahaya seperti yang diucapkan itu ditujukan kepada pemuda-pemuda yang belum beristeri dan memerlukan isteri untuk menyempurnakan kehidupan.

Dalam hadis lain Rasulullah s.a.w menyebut tentang perkahwinan bermaksud; “ sesiapa yang membenci perkahwinan maka orang itu bukanlah terdiri daripada umatku” (al-Asqalani 19; 126).

Sebenarnya, kedua-dua maksud hadis tersebut dilihat dalam konteks yang tersendiri. Rasulullah s.a.w menegur mereka yang berkemampuan untuk berkahwin tetapi tiada berbuat demikian atas andaian bahawa perkahwinan akan menggangu sesuatu kebaikan yang ingin dilakukan atau sebagainya. Rasulullah s.a.w menyifatkan mereka juga sebagai orang yang tidak mengikuti sunnah atau cara hidup baginda. Rasulullah s.a.w menjalani kehidupan tidak bercanggah dengan kehendak fitrah manusia. Sebuah hadis lain menjelaskan “saya berpuasa dan saya berbuka puasa (tidak puasa seumur hidup), saya makan dan minum, saya berkahwin dan saya menunaikan kewajipan terhadap Allah dan jura manusia…” (al-Asqalani 19; 126).Hadis ini membawa maksud, Rasulullah s.a.w mahukan umat baginda menjadikan perkahwinan sebagai salah satu ibadat dan sebahagian perjuangan yang memerlukan pengorbanan demi merealisasikan tuntutan syariat. Syariat Allah menuntut mereka yang berkahwin sebagai kehidupan yang aman tenteram, kasih sayang dan cinta yang kuat dan kukuh antara satu sama lain. Syariat Allah juga mahukan pasangan yang berkahwin menghayati kehidupan atas dasar bertoleransi, sentiasa memaafkan sesame sendiri dan lain-lain yang berkenaan. Semua itu terkandung dalam surah al-Rum ayat 21.

Perkahwinan yang dilarang iaitu perkahwinan yang ditakuti boleh menyebabkan pasangan berkenaan tidak dapat menghayati kehidupan dengan aman dan bahagia. Oleh itu diletakkan garis panduan iaitu jika ekonomi rendah dikehendaki berusaha untuk mengimbangkan ekonomi dulu sebelum mendirikan rumah tangga seperti mendapatkan sumber pendapatan yang halal dan sebagainya. Lelaki yang sudah berkahwin dilarang berkahwin lagi jika ekonominya rendah dan memiliki tabiat yang menujukkan kurang mampu untuk berlaku adil terhadap isteri-isteri yang dikahwini (Surah al-Nisa 4:3). Berdasarkan penjelasan ini ternyata bahawa perintah syariat yang melarang pemuda yang yang tidak ada kelayakan untuk berkahwin dan perintah yang menggalakkan perkahwinan bagi mereka yang mempunyai kelayakan adalah tidak bercanggah sama sekali.

Islam amat prihatin terhadap kesejahteraan bagi pasangan yang berkahwin maka dapatlah dirumuskan bahawa perkahwinan menurut islam untuk memenuhi keperluan sosial. Naluri manusia memerlukan hidup berpasangan. Berpasangan tanpa perkahwinan yang sah memberi kesan kepada kesejahteraan masyarakat dan negara misalnya terjadi kes pembuangan bayi, menggalakkan budaya hidup yang sentiasa bertukar-tukar pasangan yang boleh menyebabkan keruntuhan akhlak, penyakit dan sebagainya. Dari sudut kualiti perkhidmatan seseorang pekerja pula kemungkinan mereka yang fikirannya terganggu kerana dikecewakan oleh teman sosial yang tidak bertanggungjawab, tidak akan dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap pekerjaannya. Begitu juga dengan pasangan yang gagal menghayati kehidupan selepas berkahwin dengan penuh kesejahteraan dan harmoni.

Secara keseluruhan, perkahwinan menurut Islam untuk memenuhi kepentingan agama, masyarakat dan negara. Maka seharusnya masyarakat yang mahu maju ke hadapan sepatutnya memandang perkahwinan sebagai satu kepentingan masyarakat dan negara,bukan kepentingan individu atau untuk kepentingan sesuatu tujuan khusus seperti kepentingan politik, memenuhi kehendak nafsu liar dan lain-lain yang berkenaan.

Jesteru itu, masyarakat hendaklah berusaha membangunkan budaya yang memandang salah terhadap amalan kehidupan berpasangan tanpa perkahwinan dan budaya menambah isteri (berpoligami) dalam keadaan suami berkenaan tidak mempunyai kelayakan untuk berbuat demikian.

ULASAN KHUTBAH RASULULLAH S.A.W TENTANG PERMASALAHAN DAJJAL

PENDAHULUAN


Khutbah Rasulullah s.a.w telah menerangkan sifat-sifat dan ciri-ciri tentang Dajjal. Begitu juga dengan besarnya fitnah dan keburukkan yang dibawanya. Ramai orang muslim yang merasa dirinya kuat menghadapi gangguan Dajjal, tetapi jika Dajjal itu datang nanti, ramai yang percaya Dajjal itu adalah Tuhannya. Orang masih ramai yang tertipu sekalipun rupa Dajjal itu buruk dan matanya buta sebelah. Rasulullah s.a.w nbersabda ertinya: “Dajjal itu buta sebelah matanya dan dia adalah pembohong besar”.


Sebenarnya Dajjal adalah syaitan, samada ia dari jenis manusia, dari jin atau campuran antara keduanya. Dajjal akan muncul di akhir zaman. Tidak pasti apakah Dajjal itu sudah lama wujud atau hanya akan lahir di akhir zaman. Yang penting bagi kita Dajjal adalah syaitan yang akan dikeluarkan Allah menjelang hari kiamat. Dajjal di datangkan kepada manusia untuk menguji keimanan mereka. Ketika itu nanti nampaklah siapa yang benar-benar beriman dan siapa yang munafik. Orang yang betul-betul beriman akan kuat imannya dan orang munafik akan semakin nyata kekafirannya.


SIFAT DAN CIRI-CIRI DAJJAL


Rasululullah s.a.w ada memberikan gambaran tentang Dajjal dengan sabdanya: “Sesungguhnya aku memberikan gambaran kepada kamu tentang Dajjal. Tidak ada nabi- nabi yang tidak mengingatkan kaumnya tentang Dajjal. Nabi Nuh sendiri telah mengingatkan kaumnya tentang Dajjal. Namun demikian aku mengingatkan kamu tentang satu perkara yang belum diceritakan oleh nabi- nabi kepada kaumnya. Dajjal itu akan datang nanti dari satu tempat antara Syam dan Iraq, dan mempengaruhi manusia dengan begitu cepat sekali.



Pada mulanya nanti Dajjal itu mengaku dirinya sebagai nabi. Tapi perlu diingat tiada nabi sesudah nabi Muhammad s.a.w. Setelah itu dia mengaku sebagai Tuhan. Ingatlah bahawa Tuhan yang benar tidak mungkin kita lihat sebelum kita mati. Dajjal itu cacat matanya sedangkan Allah SWT tidak cacat, bahkan tidak sama dengan baharu, dan juga di antara dua mata Dajjal itu tertulis KAFIR, yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang pandai membaca atau buta huruf. Perlulah kita ketahui bahawa Dajjal itu matanya satu (matanya buta sebelah), sedangkan Tuhan sebenar (Allah) tidaklah sedemikian.


PEMBOHONGAN DAN FITNAH DAJJAL.


Pada zaman Rasulullah s.a.w sudah ada yang termasuk dalam hadis, yakni yang dianggap Dajjal dan pembohong. Mereka yang mengaku sebagai nabi, seperti Musailamah Al-Kazzab. Selain Musailamah ramai lagi yang mengaku sebagai nabi. Namun demikian yang paling dahsyat dan paling besar keburukannya adalah Dajjal sebenar yang mengaku sebagai Tuhan.


Dari Abu Hurairah yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “ Dalam golongan umatku ini akan muncullah orang-orang yang dianggap sebagai Dajjal dan pembohong. Mereka akan membawa hadis-hadis palsu kepada kamu, iaitu yang tidak pernah kamu dengar dan tidak didengar oleh bapa-bapa kamu. Hati-hatilah terhadap mereka dan jangan sampai mereka menipu kamu”.


Sebelum Dajjal datang nanti akan terjadi musim kemarau selama tiga tahun sehingga orang dalam kelaparan dan kehausan. Pada tahun pertama Allah SWT menyuruh langit supaya menahan sepertiga hujannya. Disamping itu Allah SWT menyuruh bumi supaya menahan sepertiga tumbuhannya.


Pada tahun kedua Allah SWT memerintahkan kepada langit supaya menahan dua pertiga air hujannya,di samping itu memerintahkan kepada bumi supaya menahan dua pertiga daripada tumbuh-tumbuhannya.


Pada tahun ketiga, yakni satu tahun lagi menjelang turunnya Dajjal, Allah SWT menyuruh langit supaya menahan sama sekali air hujannya sehingga tidak ada hujan turun sepanjang tahun itu. Di samping itu menyuruh bumi supaya menahan tumbuh-tumbuhannya secara keseluruhan sehingga tidak ada lagi yang tumbuh.


Ketika dunia dalam keadaan demikian, iaitu kering-kontang, sementara manusia dalam kehausan, kelaparan, banyak jenis penyakit dan malapetaka, maka datanglah Dajjal dengan penuh kehebatan. Ketika Dajjal muncul sudah banyak penyokognya, banyak pengawalnya dan cukup persenjataannya. Di samping itu banyak pula kelebihannya. Ini tentunya tidak lain untuk menguji keimanan manusia.


Apa yang jelas Dajjal memang banyak membawa fitnah dan keburukan , sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w yang membawa maksud “ Tidak ada fitnah (bencana ) yang paling buruk, semenjak nabi Adam sampai hari kiamat, selain daripada fitnah yang dibawa Al-Masih Dajjal”.


Rasulullah s.a.w telah menerangkan dihadapan manusia yang isinya antara lain menceritakan keadaan Dajjal. Rasulullah s.a.w telah mengingatkan supaya berwaspada terhadap pembohongan-pembohongan yang akan muncul itu.


Diantara pembohomgan-pembohongan Dajjal yang menunjukkan tentang kelebihan dan kehebatan Dajjal, dia memerintahkan langit supaya menurunkan hujan tiba-tiba hujan pun turun. Dia menyuruh bumi supaya mengeluarkan tumbuh-tumbuhannya, tiba-tiba tumbuh dengan suburnya. Manakala ujian yang paling berat lagi bagi manusia, Dajjal datang ke perkampungan orang-orang baik dan mereka tidak mengakunya sebagai Tuhan, maka dengan tipu dayanya itu tanam-tanaman dan ternakan mereka tidak menjadi.


Lain pula jadinya apabila Dajjal datang ke tempat orang-orang yang percaya kepadanya dan penduduk kampung itu mengakunya sebagai Tuhan. Disebabkan yang demikian hujan turun di tempat mereka dan tanam-tanaman mereka pun menjadi.


Kemudian Dajjal menyuruh sungai supaya mengalirkan airnya, maka air pun kembali mengalir. Dia menyuruh supaya mengalir ke hulu tiba-tiba airnya mengalir dari muara ke hulu. Dia menyuruh air supaya kering, tiba-tiba menjadi kering.


Dajjal menunjukkan kehebatannya menyembuhkan pelbagai macam penyakit, bahkan sanggup menghidupkan orang yang sudah mati. Dia berpura-pura mengajak kepada kebaikan dan perdamaian maka ramailah pengikutnya. Dalam keadaan demikian dia pun mengaku sebagai nabi. Ramai juga orang yang percaya. Pada akhirnya dia mengaku sebagai Tuhan.Sungguh dahsyat tipu daya yang dibawanya.


Dia mempunyai segala peralatan untuk menghukum dan menyiksa orang, bahkan dia mempunyai syurga dan neraka. Nerakanya itu sebenarnya syurganya sedangkan syurganya itu neraka, yakni panas. Sesiapa diantara kita yang disiksanya dengan nerakanya, hendaklah dia meminta pertolongan kepada Allah dan hendaklah dia membaca pangkal surah Al-Kahfi, maka nerakanya itu akan sejuk sebagaimana api membakar Nabi Ibrahim itu menjadi sejuk.


Dajjal mengaku dialah Tuhan sekalian alam. Aku sanggup menghidupkan dan mematikan. Dia pernah berkata kepada orang Arab “Seandainya aku sanggup menghidupkan ayah atau ibumu yang sudah meninggal dunia itu, apakah engkau mengaku aku sebagai Tuhanmu?.Maka orang Arab itu berkata “Tentu.” Maka syaitan pun datang menyamar seperti ayah atau ibunya. Rupanya sama, sifat-sifatnya sama dan suaranya pun sama. Maka berkata ibu bapanya ikutlah dia, sesungguhnya dialah Tuhanmu.


Namun demikian ada orang mukmin yang membantahnya,tiba-tiba Dajjal itu membelahnya menjadi dua bahagian. Setelah itu dia katakana kepada orang ramai “Lihatlah apa yang akan aku lakukan terhadap hambaku ini, sekarang akan ku hidupkan semula. Dengan izin Allah orang mati tadi hidup semula, dan berkata kepadanya: “ Berdiri engkau.” Orang mukmin itu pun berdiri. Dajjal itu berkata lagi: “ Percayakah engkau aku ini Tuhan sekalian alam?. Orang mukmin itu menginkarinya dan menjawab: “Tidak engkau adalah Al-Masih pembohong. Tuhanku adalah Allah, sedangkan engkau adalah musuh Allah. Orang itu lulus dalam ujian Allah dan dia termasuk orang yang paling tinggi darjatnya di syurga.


Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah s.a.w ada bersabda” Bumi yang paling baik adalah Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal nanti ia dikawal oleh malaikat. Dajjal tidak sanggup memasuki Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal (di luar Madinah), kota Madinah bergegar tiga kali. Orang-orang munafik yang ada di Madinah (lelaki atau perempuan) bagaikan cacing kepanasan kemudiam mereka keluar meninggalkan Madinah. Kaum wanita adalah yang paling ramai lari ketika itu.


Itulah yang dikatakan hari pembersihan. Madinah membersihkan kekotorannya seperti tukang besi membersihkan karat-karat besi. Dari Aisyah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda yang membawa maksud: “Dajjal tidak dapat memasuki Makkah dan Madinah.


Rasulullah s.a.w berkata seandainya Dajjal itu datang pada waktu aku masih hidup, maka Allah-lah yang aku harapkan untuk memelihara orang-orang mukmin. Kalau dia datang sesudah kematianku, maka setiap orang menjaga dirinya, dan sebenarnya Allah akan menjaga orang-orang mukmin.


Orang yang mendengar datangnya Dajjal hendaklah dia menjauhi daripadanya dengan membaca surah Al-Kahfi atau bertempat di Makkah atau Madinah. Rasulullah sendiri selalu membaca zikir,dalam solat, yang tujuannya berlindung dari fitnah Dajjal. Baginda selalu membaca zikir yang membawa maksud seperti berikut: “ Ya Allah, kami berlindung dengan Mu dari azab Jahanam, dari fitnah siksa kubur, dari fitnah hidup dan mati dan dari fitnah AL-Masih Dajjal.



GAYA BAHASA


Rasulullah s.a.w apabila memyampaikan khutbahnya, tidak panjang berjela-jela,malah ia pendek dan padat. Baginda menyampaikan khutbahnya dengan bernas dan berkesan sebagai satu tanggungjawab dalam aspek dakwah. Suaranya yang kuat, lantang serta jelas mampu menarik pendengar dengan apa yang akan disampaikan. Intonasi atau nada suaranya berbeza-beza untuk menyakinkan para pendengar. Baginda mempelbagaikan teknik penyampaiannya dengan bercerita, menyelitkan ayat-ayat Al-Quran dan hadis berhubung dengan apa yang disampaikan. Pernah Rasulullah semasa khutbahnya baginda menekankan tongkatnya diatas mimbar yang mana untuk menegaskan permasalahan Dajjal.Penekanan yang ditegaskan oleh Rasulullah itu merupakan larangan bagi umatnya.


JENIS KHUTBAH


Khutbah yang disampaikan oleh Rasulullah jelas berkaitam dengan akidah . Kerosakan akidah berpunca kerana kejahilan dan keimanan yang tidak kuat dalam jiwa seseorang. Akibat rosaknya akidah mereka sanggup mempercayai ada kuasa lain selain daripada kekuasaan Allah. Mereka sanggup bertuhankan Dajjal daripada bertuhankan Allah. Namun demikian ada segelintir orang-orang mukmin yang masih berpegang dengan akidah islamiyyah yang sebenarnya. Walau apapun ujian dan dugaan yang dihadapi mereka tetap mempercayai bahawa Allah adalah tuhan mereka. Mereka ini adalah orang-orang yang tinggi darjatnya di sisi Allah.


KEISTIMEWAAN KHUTBAH


Apa yang menjadi keistimewaannya dalam khutbah ini ialah cara penyampaiannya yang bernas dan berkesan sebagai satu tanggungjawab dalam aspek dakwah. Penyampainya mampu menguasai cerita-cerita al-Quran yang boleh dijadikan rujukan dalam khutbah yang disampaikan. Penyampai berani menyatakan kebenaran tanpa rasa terikat dengan mana- mana pihak. Ia juga mampu mengadaptasikan sirah Nabi dalm realiti hidup masyarakat. Penyampainya cukup terang dan memuaskan hati pendengar. Apabila bercakap tentang kehebatan Dajjal , kemusnahan, pembohongan, fitnah semua diterjemahkan dalam kenyataan hidup, dan mengingatkan masyarakat agar sentiasa berwaspada mengenainya.



KESIMPULAN


Seperti kita ketahui Allah SWT tidak menerima taubat seseorang apabila sudah sampai saat ghargharah, yakni roh sudah sampai ke kerongkong atau sudah hampir mati. Begitu juga saat dunia sudah ghargharah atau sudah hampir kiamat, tidak ada gunanya lagi beramal atau bertaubat ketika itu. Sedangkan kejadian sebelumnya, iaitu ketika munculnya Dajjal, lain pula keadaannya. Ketika itu bukan masalah taubat tidak diterima, tetapi masalah ujian iman yang sangat berat menghadapinya. Orang yang tidak kuat imannya dan tidak ada pengetahuannya tentang Dajjal, besar kemungkinan akan jatuh menjadi kafir.


Betapa tidak, dihadapannya ada orang yang mengaku dirinya Tuhan dan lengkap membawa bukti, sekalipun itu semua sihir. Dia membawa syurga dan neraka yang jelas disaksikan oleh semua orang. Orang yang tidak beriman kepadanya (Dajjal) dia campakkan ke dalam nerakanya. Sedangkan orang yang beriman atau percaya kepadanya dimasukkannya ke dalam syurganya. Orang yang tidak kuat imannya dan tidak pernah mendengar cerita Dajjal sebelumnya,tentunya akan bertuhan kepada Dajjal itu.


Orang yang kuat imannya ialah orang-orang yang beriman dengan apa sahaja yang disebut dalam kitab Al- Quran dan sunnah Rasul-Nya. Orang yang tidak beriman dengan kedua-duanya atau salah satunya bererti imannya rapuh dan akan roboh apabila berhadapan dengan Dajjal yang tidak disebut dengan jelas di dalam Quran. Mengapa Dajjal tidak disebut di dalam Quran? Tentunya Allahlah yang mengetahui sebabnya.


Begitulah keadaan orang nanti, ramai yang kufur kepada Allah SWT dan beriman kepada Dajjal. Rasulullah s.a.w selalu mengingatkan umatnya tentang bahaya Dajjal ini. Ertinya banyak hadis baginda mengenai Dajjal. Nabi-nabi sebelum baginda juga selalu mengingatkan kaumnya.


Oleh itu mari kita lengkapkan ilmu dan kita mantapkan iman untuk menghadapi godaan Dajjal itu yang menyebabkan kita menjadi kufur dan di masukkan ke dalam neraka untuk selama-lamanya.

Thursday, May 20, 2010

SIAPAKAH MANUSIA YANG PALING JAHAT

Sewaktu masa junjungan besar nabi Muhammad s.a.w bersama dengan Ibnu Abas dan sahabat yang lain. Baginda pernah bersabda yang bermaksud: "Hendakkah kamu semua mendengar sesuatu tentang manusia yang paling jahat disisi Allah?"
Ibnu Abas dan sahabat yang lain menjawab: "Beritahulah kami wahai Rasulullah, kami semua ingin mengetahuinya siapakah mereka". Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: "Mereka ialah seseorang yang meminta dengan nama Allah tetapi tiada siapa pun memberinya, sedangkan mereka mampu berbuat demikian".
Sebagai seorang manusia kita akan sentiasa diuji dengan berbagai dugaan oleh Allah SWT tidak kira siapa kita yang pasti keadaan terdesak itu pasti akan mengundang masalah dan memerlukan pertolongan dari seseorang. sewaktu berada dalam keadaan genting dan amat memerlukan pertolongan seseorang muslim yang bertakwa dan yakin dengan ketentuan Ilahi langkah pertama yang mesti dilakukan ialah dengan berdoa dan mengadu kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar akan doa hambanya yang memerlukan pertolongan. seandainya doa diperkenankan, kemungkinan Dia akan menghantar dan menggerakkan hati seseorang untuk menolongnya.
Walau demikian, jika terdapat dikalangan kita yang betul-betul terdesak dan meminta pertolongan dari sahabat dan rakan taulan dengan terpaksa menyebut nama Allah dan bersumpah dengannya, seperti: "Demi Allah saya amat terdesak sekarang, tolonglah saya," dan tidak dibantu oleh mereka yang ditemui sedangkan mereka mampu membantunya.
jika terdapat orang yang betul-betul terdesak sehinggakan terpaksa menyebut nama Allah tetapi tidak diendahkan sedang mereka yang ditemui itu mampu memberi pertolongan, sesungguhnya mereka inilah yang merupakan sejahat-jahat manusia seperti yang digambarkan dalam hadis baginda. memang perkataan jahat sewajarnya diberikan bagi mereka ini keran sanggup membiarkan saudara mereka dalam kesempitan, sedangkan mampu memberi pertolongan.
pengajaran dari hadis ini:
  1. Apabila seseorang yang betul-betul terdesak menyeru nama Allah bagi memohon pertolongan kita mesti memberi pertolongan jika mampu, kerana kita akan termasuk dalam golongan manusia yang paling jahat jika tidak memberi pertolongan.
  2. Jangan memudahkan menggunakan nama Allah bagi tujuan kepentingan diri, kerana menyedari permintaan akan ditunaikan dengan menyebut dan menjaja nama Allah.

Isyarat mereka yang menggunakan perkataan ini sebenarnya merupakan isyarat kecemasan bagi mereka yang berada dalam kecemasan. jika terdapat golongan yang suka menggunakan isyarat ini sewenang-wenangnya ditakuti isyarat ini tidak dipedulikan lagi dan akan meninggalkan kesan yang buruk seterusnya ia tidak akan dipedulikan lagi oleh sesiapa yang yang mendenggarnya.

rujukan:

tazkirah Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat:Dewan Muslimat Sdn Bhd.Ogos 1997