Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “ Wahai pemuda-pemuda sekalian, sesiapa di kalangan kamu yang berkemampuan dari segi al-Baah maka berkahwinlah. Mereka yang tidak mampu berpuasalah, sesungguhnya puasa dapat mengurangkan syahwat yng mendesak supaya berkahwin”(Ibn Hajar al-Asqalani 19; 128)
Al-Baah yang dimaksudkan dalam hadis tersebut iaitu “ saraan hidup keluarga” atau nafkah zahir. Nafkah batin tidak timbul dalam soal ini sebabRasulullah meminta orang yang tidak berkemampuan dari segi nafkah zahir supaya mengelakkan perkahwinan melalui amalan puasa. Mereka berkenaan sudah tentu kaya tentang nafkah batin, jika tidak Rasulullah s.a.w tidak menyuruh mereka berpuasa semata-mata kerana mengurangkan keinginan yang kuat untuk berkahwin.
Maksud hadis di atas juga membuktikan bahawa perkahwinan menurut islam bukan semata-mata untuk tujuan memenuhi kehendak nafsu lelaki dan wanita yang ingin berkahwin, tetapi dilihat pada kesan sesuatu perkahwinan yang bakal diadakan. Jika terdapat petanda sesuatu perkahwinan itu akan menyebabkan bahaya kepada pasangan dan zuriat mereka, maka pasangan berkenaan disuruh berikhtiar dan berusaha mengatasi punca-punca masalah yang menyebabkan berlakunyademikian. Perkara ini terkandung dalam maksud hadis di atas, di mana Rasulullah s.a.w menyuruh pemuda berkeinginan kuat untuk berkahwin agar berpuasa hingga keadaan ekonominya kukuh dan mampu menyara ahli keluarganya setelah dia berkahwin dan mempunyai zuriat.
Jika diteliti maksud hadis tersebut ternyata bahawa islam mengutamakan kesejahteraan awam, masyarakat dan negara selain kepentingan individu. Ini bukan bermakna Islam melarang orang fakir atau miskindari berkahwin kerana tidak mampu menyara keluarga, tetapi melarang perkahwinan yang membawa kemudaratan kepada keluarga. Menurut hadis tersebut larangan kepada perkahwinan yang berkemungkinan membawa bahaya seperti yang diucapkan itu ditujukan kepada pemuda-pemuda yang belum beristeri dan memerlukan isteri untuk menyempurnakan kehidupan.
Dalam hadis lain Rasulullah s.a.w menyebut tentang perkahwinan bermaksud; “ sesiapa yang membenci perkahwinan maka orang itu bukanlah terdiri daripada umatku” (al-Asqalani 19; 126).
Sebenarnya, kedua-dua maksud hadis tersebut dilihat dalam konteks yang tersendiri. Rasulullah s.a.w menegur mereka yang berkemampuan untuk berkahwin tetapi tiada berbuat demikian atas andaian bahawa perkahwinan akan menggangu sesuatu kebaikan yang ingin dilakukan atau sebagainya. Rasulullah s.a.w menyifatkan mereka juga sebagai orang yang tidak mengikuti sunnah atau cara hidup baginda. Rasulullah s.a.w menjalani kehidupan tidak bercanggah dengan kehendak fitrah manusia. Sebuah hadis lain menjelaskan “saya berpuasa dan saya berbuka puasa (tidak puasa seumur hidup), saya makan dan minum, saya berkahwin dan saya menunaikan kewajipan terhadap Allah dan jura manusia…” (al-Asqalani 19; 126).Hadis ini membawa maksud, Rasulullah s.a.w mahukan umat baginda menjadikan perkahwinan sebagai salah satu ibadat dan sebahagian perjuangan yang memerlukan pengorbanan demi merealisasikan tuntutan syariat. Syariat Allah menuntut mereka yang berkahwin sebagai kehidupan yang aman tenteram, kasih sayang dan cinta yang kuat dan kukuh antara satu sama lain. Syariat Allah juga mahukan pasangan yang berkahwin menghayati kehidupan atas dasar bertoleransi, sentiasa memaafkan sesame sendiri dan lain-lain yang berkenaan. Semua itu terkandung dalam surah al-Rum ayat 21.
Perkahwinan yang dilarang iaitu perkahwinan yang ditakuti boleh menyebabkan pasangan berkenaan tidak dapat menghayati kehidupan dengan aman dan bahagia. Oleh itu diletakkan garis panduan iaitu jika ekonomi rendah dikehendaki berusaha untuk mengimbangkan ekonomi dulu sebelum mendirikan rumah tangga seperti mendapatkan sumber pendapatan yang halal dan sebagainya. Lelaki yang sudah berkahwin dilarang berkahwin lagi jika ekonominya rendah dan memiliki tabiat yang menujukkan kurang mampu untuk berlaku adil terhadap isteri-isteri yang dikahwini (Surah al-Nisa 4:3). Berdasarkan penjelasan ini ternyata bahawa perintah syariat yang melarang pemuda yang yang tidak ada kelayakan untuk berkahwin dan perintah yang menggalakkan perkahwinan bagi mereka yang mempunyai kelayakan adalah tidak bercanggah sama sekali.
Islam amat prihatin terhadap kesejahteraan bagi pasangan yang berkahwin maka dapatlah dirumuskan bahawa perkahwinan menurut islam untuk memenuhi keperluan sosial. Naluri manusia memerlukan hidup berpasangan. Berpasangan tanpa perkahwinan yang sah memberi kesan kepada kesejahteraan masyarakat dan negara misalnya terjadi kes pembuangan bayi, menggalakkan budaya hidup yang sentiasa bertukar-tukar pasangan yang boleh menyebabkan keruntuhan akhlak, penyakit dan sebagainya. Dari sudut kualiti perkhidmatan seseorang pekerja pula kemungkinan mereka yang fikirannya terganggu kerana dikecewakan oleh teman sosial yang tidak bertanggungjawab, tidak akan dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap pekerjaannya. Begitu juga dengan pasangan yang gagal menghayati kehidupan selepas berkahwin dengan penuh kesejahteraan dan harmoni.
Secara keseluruhan, perkahwinan menurut Islam untuk memenuhi kepentingan agama, masyarakat dan negara. Maka seharusnya masyarakat yang mahu maju ke hadapan sepatutnya memandang perkahwinan sebagai satu kepentingan masyarakat dan negara,bukan kepentingan individu atau untuk kepentingan sesuatu tujuan khusus seperti kepentingan politik, memenuhi kehendak nafsu liar dan lain-lain yang berkenaan.
Jesteru itu, masyarakat hendaklah berusaha membangunkan budaya yang memandang salah terhadap amalan kehidupan berpasangan tanpa perkahwinan dan budaya menambah isteri (berpoligami) dalam keadaan suami berkenaan tidak mempunyai kelayakan untuk berbuat demikian.
No comments:
Post a Comment