Salam Ukhwah & Salam Persahabatan Buat Semua

Firman Allah Yang bermaksud:

"Wahai umat manusia! sesungguhnya kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (beramah mesra antara satu sama lain)..."

(al-hujurat: 13)

Tuesday, June 1, 2010

ULASAN KHUTBAH RASULULLAH S.A.W TENTANG PERMASALAHAN DAJJAL

PENDAHULUAN


Khutbah Rasulullah s.a.w telah menerangkan sifat-sifat dan ciri-ciri tentang Dajjal. Begitu juga dengan besarnya fitnah dan keburukkan yang dibawanya. Ramai orang muslim yang merasa dirinya kuat menghadapi gangguan Dajjal, tetapi jika Dajjal itu datang nanti, ramai yang percaya Dajjal itu adalah Tuhannya. Orang masih ramai yang tertipu sekalipun rupa Dajjal itu buruk dan matanya buta sebelah. Rasulullah s.a.w nbersabda ertinya: “Dajjal itu buta sebelah matanya dan dia adalah pembohong besar”.


Sebenarnya Dajjal adalah syaitan, samada ia dari jenis manusia, dari jin atau campuran antara keduanya. Dajjal akan muncul di akhir zaman. Tidak pasti apakah Dajjal itu sudah lama wujud atau hanya akan lahir di akhir zaman. Yang penting bagi kita Dajjal adalah syaitan yang akan dikeluarkan Allah menjelang hari kiamat. Dajjal di datangkan kepada manusia untuk menguji keimanan mereka. Ketika itu nanti nampaklah siapa yang benar-benar beriman dan siapa yang munafik. Orang yang betul-betul beriman akan kuat imannya dan orang munafik akan semakin nyata kekafirannya.


SIFAT DAN CIRI-CIRI DAJJAL


Rasululullah s.a.w ada memberikan gambaran tentang Dajjal dengan sabdanya: “Sesungguhnya aku memberikan gambaran kepada kamu tentang Dajjal. Tidak ada nabi- nabi yang tidak mengingatkan kaumnya tentang Dajjal. Nabi Nuh sendiri telah mengingatkan kaumnya tentang Dajjal. Namun demikian aku mengingatkan kamu tentang satu perkara yang belum diceritakan oleh nabi- nabi kepada kaumnya. Dajjal itu akan datang nanti dari satu tempat antara Syam dan Iraq, dan mempengaruhi manusia dengan begitu cepat sekali.



Pada mulanya nanti Dajjal itu mengaku dirinya sebagai nabi. Tapi perlu diingat tiada nabi sesudah nabi Muhammad s.a.w. Setelah itu dia mengaku sebagai Tuhan. Ingatlah bahawa Tuhan yang benar tidak mungkin kita lihat sebelum kita mati. Dajjal itu cacat matanya sedangkan Allah SWT tidak cacat, bahkan tidak sama dengan baharu, dan juga di antara dua mata Dajjal itu tertulis KAFIR, yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang pandai membaca atau buta huruf. Perlulah kita ketahui bahawa Dajjal itu matanya satu (matanya buta sebelah), sedangkan Tuhan sebenar (Allah) tidaklah sedemikian.


PEMBOHONGAN DAN FITNAH DAJJAL.


Pada zaman Rasulullah s.a.w sudah ada yang termasuk dalam hadis, yakni yang dianggap Dajjal dan pembohong. Mereka yang mengaku sebagai nabi, seperti Musailamah Al-Kazzab. Selain Musailamah ramai lagi yang mengaku sebagai nabi. Namun demikian yang paling dahsyat dan paling besar keburukannya adalah Dajjal sebenar yang mengaku sebagai Tuhan.


Dari Abu Hurairah yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “ Dalam golongan umatku ini akan muncullah orang-orang yang dianggap sebagai Dajjal dan pembohong. Mereka akan membawa hadis-hadis palsu kepada kamu, iaitu yang tidak pernah kamu dengar dan tidak didengar oleh bapa-bapa kamu. Hati-hatilah terhadap mereka dan jangan sampai mereka menipu kamu”.


Sebelum Dajjal datang nanti akan terjadi musim kemarau selama tiga tahun sehingga orang dalam kelaparan dan kehausan. Pada tahun pertama Allah SWT menyuruh langit supaya menahan sepertiga hujannya. Disamping itu Allah SWT menyuruh bumi supaya menahan sepertiga tumbuhannya.


Pada tahun kedua Allah SWT memerintahkan kepada langit supaya menahan dua pertiga air hujannya,di samping itu memerintahkan kepada bumi supaya menahan dua pertiga daripada tumbuh-tumbuhannya.


Pada tahun ketiga, yakni satu tahun lagi menjelang turunnya Dajjal, Allah SWT menyuruh langit supaya menahan sama sekali air hujannya sehingga tidak ada hujan turun sepanjang tahun itu. Di samping itu menyuruh bumi supaya menahan tumbuh-tumbuhannya secara keseluruhan sehingga tidak ada lagi yang tumbuh.


Ketika dunia dalam keadaan demikian, iaitu kering-kontang, sementara manusia dalam kehausan, kelaparan, banyak jenis penyakit dan malapetaka, maka datanglah Dajjal dengan penuh kehebatan. Ketika Dajjal muncul sudah banyak penyokognya, banyak pengawalnya dan cukup persenjataannya. Di samping itu banyak pula kelebihannya. Ini tentunya tidak lain untuk menguji keimanan manusia.


Apa yang jelas Dajjal memang banyak membawa fitnah dan keburukan , sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w yang membawa maksud “ Tidak ada fitnah (bencana ) yang paling buruk, semenjak nabi Adam sampai hari kiamat, selain daripada fitnah yang dibawa Al-Masih Dajjal”.


Rasulullah s.a.w telah menerangkan dihadapan manusia yang isinya antara lain menceritakan keadaan Dajjal. Rasulullah s.a.w telah mengingatkan supaya berwaspada terhadap pembohongan-pembohongan yang akan muncul itu.


Diantara pembohomgan-pembohongan Dajjal yang menunjukkan tentang kelebihan dan kehebatan Dajjal, dia memerintahkan langit supaya menurunkan hujan tiba-tiba hujan pun turun. Dia menyuruh bumi supaya mengeluarkan tumbuh-tumbuhannya, tiba-tiba tumbuh dengan suburnya. Manakala ujian yang paling berat lagi bagi manusia, Dajjal datang ke perkampungan orang-orang baik dan mereka tidak mengakunya sebagai Tuhan, maka dengan tipu dayanya itu tanam-tanaman dan ternakan mereka tidak menjadi.


Lain pula jadinya apabila Dajjal datang ke tempat orang-orang yang percaya kepadanya dan penduduk kampung itu mengakunya sebagai Tuhan. Disebabkan yang demikian hujan turun di tempat mereka dan tanam-tanaman mereka pun menjadi.


Kemudian Dajjal menyuruh sungai supaya mengalirkan airnya, maka air pun kembali mengalir. Dia menyuruh supaya mengalir ke hulu tiba-tiba airnya mengalir dari muara ke hulu. Dia menyuruh air supaya kering, tiba-tiba menjadi kering.


Dajjal menunjukkan kehebatannya menyembuhkan pelbagai macam penyakit, bahkan sanggup menghidupkan orang yang sudah mati. Dia berpura-pura mengajak kepada kebaikan dan perdamaian maka ramailah pengikutnya. Dalam keadaan demikian dia pun mengaku sebagai nabi. Ramai juga orang yang percaya. Pada akhirnya dia mengaku sebagai Tuhan.Sungguh dahsyat tipu daya yang dibawanya.


Dia mempunyai segala peralatan untuk menghukum dan menyiksa orang, bahkan dia mempunyai syurga dan neraka. Nerakanya itu sebenarnya syurganya sedangkan syurganya itu neraka, yakni panas. Sesiapa diantara kita yang disiksanya dengan nerakanya, hendaklah dia meminta pertolongan kepada Allah dan hendaklah dia membaca pangkal surah Al-Kahfi, maka nerakanya itu akan sejuk sebagaimana api membakar Nabi Ibrahim itu menjadi sejuk.


Dajjal mengaku dialah Tuhan sekalian alam. Aku sanggup menghidupkan dan mematikan. Dia pernah berkata kepada orang Arab “Seandainya aku sanggup menghidupkan ayah atau ibumu yang sudah meninggal dunia itu, apakah engkau mengaku aku sebagai Tuhanmu?.Maka orang Arab itu berkata “Tentu.” Maka syaitan pun datang menyamar seperti ayah atau ibunya. Rupanya sama, sifat-sifatnya sama dan suaranya pun sama. Maka berkata ibu bapanya ikutlah dia, sesungguhnya dialah Tuhanmu.


Namun demikian ada orang mukmin yang membantahnya,tiba-tiba Dajjal itu membelahnya menjadi dua bahagian. Setelah itu dia katakana kepada orang ramai “Lihatlah apa yang akan aku lakukan terhadap hambaku ini, sekarang akan ku hidupkan semula. Dengan izin Allah orang mati tadi hidup semula, dan berkata kepadanya: “ Berdiri engkau.” Orang mukmin itu pun berdiri. Dajjal itu berkata lagi: “ Percayakah engkau aku ini Tuhan sekalian alam?. Orang mukmin itu menginkarinya dan menjawab: “Tidak engkau adalah Al-Masih pembohong. Tuhanku adalah Allah, sedangkan engkau adalah musuh Allah. Orang itu lulus dalam ujian Allah dan dia termasuk orang yang paling tinggi darjatnya di syurga.


Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah s.a.w ada bersabda” Bumi yang paling baik adalah Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal nanti ia dikawal oleh malaikat. Dajjal tidak sanggup memasuki Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal (di luar Madinah), kota Madinah bergegar tiga kali. Orang-orang munafik yang ada di Madinah (lelaki atau perempuan) bagaikan cacing kepanasan kemudiam mereka keluar meninggalkan Madinah. Kaum wanita adalah yang paling ramai lari ketika itu.


Itulah yang dikatakan hari pembersihan. Madinah membersihkan kekotorannya seperti tukang besi membersihkan karat-karat besi. Dari Aisyah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda yang membawa maksud: “Dajjal tidak dapat memasuki Makkah dan Madinah.


Rasulullah s.a.w berkata seandainya Dajjal itu datang pada waktu aku masih hidup, maka Allah-lah yang aku harapkan untuk memelihara orang-orang mukmin. Kalau dia datang sesudah kematianku, maka setiap orang menjaga dirinya, dan sebenarnya Allah akan menjaga orang-orang mukmin.


Orang yang mendengar datangnya Dajjal hendaklah dia menjauhi daripadanya dengan membaca surah Al-Kahfi atau bertempat di Makkah atau Madinah. Rasulullah sendiri selalu membaca zikir,dalam solat, yang tujuannya berlindung dari fitnah Dajjal. Baginda selalu membaca zikir yang membawa maksud seperti berikut: “ Ya Allah, kami berlindung dengan Mu dari azab Jahanam, dari fitnah siksa kubur, dari fitnah hidup dan mati dan dari fitnah AL-Masih Dajjal.



GAYA BAHASA


Rasulullah s.a.w apabila memyampaikan khutbahnya, tidak panjang berjela-jela,malah ia pendek dan padat. Baginda menyampaikan khutbahnya dengan bernas dan berkesan sebagai satu tanggungjawab dalam aspek dakwah. Suaranya yang kuat, lantang serta jelas mampu menarik pendengar dengan apa yang akan disampaikan. Intonasi atau nada suaranya berbeza-beza untuk menyakinkan para pendengar. Baginda mempelbagaikan teknik penyampaiannya dengan bercerita, menyelitkan ayat-ayat Al-Quran dan hadis berhubung dengan apa yang disampaikan. Pernah Rasulullah semasa khutbahnya baginda menekankan tongkatnya diatas mimbar yang mana untuk menegaskan permasalahan Dajjal.Penekanan yang ditegaskan oleh Rasulullah itu merupakan larangan bagi umatnya.


JENIS KHUTBAH


Khutbah yang disampaikan oleh Rasulullah jelas berkaitam dengan akidah . Kerosakan akidah berpunca kerana kejahilan dan keimanan yang tidak kuat dalam jiwa seseorang. Akibat rosaknya akidah mereka sanggup mempercayai ada kuasa lain selain daripada kekuasaan Allah. Mereka sanggup bertuhankan Dajjal daripada bertuhankan Allah. Namun demikian ada segelintir orang-orang mukmin yang masih berpegang dengan akidah islamiyyah yang sebenarnya. Walau apapun ujian dan dugaan yang dihadapi mereka tetap mempercayai bahawa Allah adalah tuhan mereka. Mereka ini adalah orang-orang yang tinggi darjatnya di sisi Allah.


KEISTIMEWAAN KHUTBAH


Apa yang menjadi keistimewaannya dalam khutbah ini ialah cara penyampaiannya yang bernas dan berkesan sebagai satu tanggungjawab dalam aspek dakwah. Penyampainya mampu menguasai cerita-cerita al-Quran yang boleh dijadikan rujukan dalam khutbah yang disampaikan. Penyampai berani menyatakan kebenaran tanpa rasa terikat dengan mana- mana pihak. Ia juga mampu mengadaptasikan sirah Nabi dalm realiti hidup masyarakat. Penyampainya cukup terang dan memuaskan hati pendengar. Apabila bercakap tentang kehebatan Dajjal , kemusnahan, pembohongan, fitnah semua diterjemahkan dalam kenyataan hidup, dan mengingatkan masyarakat agar sentiasa berwaspada mengenainya.



KESIMPULAN


Seperti kita ketahui Allah SWT tidak menerima taubat seseorang apabila sudah sampai saat ghargharah, yakni roh sudah sampai ke kerongkong atau sudah hampir mati. Begitu juga saat dunia sudah ghargharah atau sudah hampir kiamat, tidak ada gunanya lagi beramal atau bertaubat ketika itu. Sedangkan kejadian sebelumnya, iaitu ketika munculnya Dajjal, lain pula keadaannya. Ketika itu bukan masalah taubat tidak diterima, tetapi masalah ujian iman yang sangat berat menghadapinya. Orang yang tidak kuat imannya dan tidak ada pengetahuannya tentang Dajjal, besar kemungkinan akan jatuh menjadi kafir.


Betapa tidak, dihadapannya ada orang yang mengaku dirinya Tuhan dan lengkap membawa bukti, sekalipun itu semua sihir. Dia membawa syurga dan neraka yang jelas disaksikan oleh semua orang. Orang yang tidak beriman kepadanya (Dajjal) dia campakkan ke dalam nerakanya. Sedangkan orang yang beriman atau percaya kepadanya dimasukkannya ke dalam syurganya. Orang yang tidak kuat imannya dan tidak pernah mendengar cerita Dajjal sebelumnya,tentunya akan bertuhan kepada Dajjal itu.


Orang yang kuat imannya ialah orang-orang yang beriman dengan apa sahaja yang disebut dalam kitab Al- Quran dan sunnah Rasul-Nya. Orang yang tidak beriman dengan kedua-duanya atau salah satunya bererti imannya rapuh dan akan roboh apabila berhadapan dengan Dajjal yang tidak disebut dengan jelas di dalam Quran. Mengapa Dajjal tidak disebut di dalam Quran? Tentunya Allahlah yang mengetahui sebabnya.


Begitulah keadaan orang nanti, ramai yang kufur kepada Allah SWT dan beriman kepada Dajjal. Rasulullah s.a.w selalu mengingatkan umatnya tentang bahaya Dajjal ini. Ertinya banyak hadis baginda mengenai Dajjal. Nabi-nabi sebelum baginda juga selalu mengingatkan kaumnya.


Oleh itu mari kita lengkapkan ilmu dan kita mantapkan iman untuk menghadapi godaan Dajjal itu yang menyebabkan kita menjadi kufur dan di masukkan ke dalam neraka untuk selama-lamanya.

No comments:

Post a Comment