Salam Ukhwah & Salam Persahabatan Buat Semua

Firman Allah Yang bermaksud:

"Wahai umat manusia! sesungguhnya kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (beramah mesra antara satu sama lain)..."

(al-hujurat: 13)

Thursday, May 20, 2010

SIAPAKAH MANUSIA YANG PALING JAHAT

Sewaktu masa junjungan besar nabi Muhammad s.a.w bersama dengan Ibnu Abas dan sahabat yang lain. Baginda pernah bersabda yang bermaksud: "Hendakkah kamu semua mendengar sesuatu tentang manusia yang paling jahat disisi Allah?"
Ibnu Abas dan sahabat yang lain menjawab: "Beritahulah kami wahai Rasulullah, kami semua ingin mengetahuinya siapakah mereka". Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: "Mereka ialah seseorang yang meminta dengan nama Allah tetapi tiada siapa pun memberinya, sedangkan mereka mampu berbuat demikian".
Sebagai seorang manusia kita akan sentiasa diuji dengan berbagai dugaan oleh Allah SWT tidak kira siapa kita yang pasti keadaan terdesak itu pasti akan mengundang masalah dan memerlukan pertolongan dari seseorang. sewaktu berada dalam keadaan genting dan amat memerlukan pertolongan seseorang muslim yang bertakwa dan yakin dengan ketentuan Ilahi langkah pertama yang mesti dilakukan ialah dengan berdoa dan mengadu kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar akan doa hambanya yang memerlukan pertolongan. seandainya doa diperkenankan, kemungkinan Dia akan menghantar dan menggerakkan hati seseorang untuk menolongnya.
Walau demikian, jika terdapat dikalangan kita yang betul-betul terdesak dan meminta pertolongan dari sahabat dan rakan taulan dengan terpaksa menyebut nama Allah dan bersumpah dengannya, seperti: "Demi Allah saya amat terdesak sekarang, tolonglah saya," dan tidak dibantu oleh mereka yang ditemui sedangkan mereka mampu membantunya.
jika terdapat orang yang betul-betul terdesak sehinggakan terpaksa menyebut nama Allah tetapi tidak diendahkan sedang mereka yang ditemui itu mampu memberi pertolongan, sesungguhnya mereka inilah yang merupakan sejahat-jahat manusia seperti yang digambarkan dalam hadis baginda. memang perkataan jahat sewajarnya diberikan bagi mereka ini keran sanggup membiarkan saudara mereka dalam kesempitan, sedangkan mampu memberi pertolongan.
pengajaran dari hadis ini:
  1. Apabila seseorang yang betul-betul terdesak menyeru nama Allah bagi memohon pertolongan kita mesti memberi pertolongan jika mampu, kerana kita akan termasuk dalam golongan manusia yang paling jahat jika tidak memberi pertolongan.
  2. Jangan memudahkan menggunakan nama Allah bagi tujuan kepentingan diri, kerana menyedari permintaan akan ditunaikan dengan menyebut dan menjaja nama Allah.

Isyarat mereka yang menggunakan perkataan ini sebenarnya merupakan isyarat kecemasan bagi mereka yang berada dalam kecemasan. jika terdapat golongan yang suka menggunakan isyarat ini sewenang-wenangnya ditakuti isyarat ini tidak dipedulikan lagi dan akan meninggalkan kesan yang buruk seterusnya ia tidak akan dipedulikan lagi oleh sesiapa yang yang mendenggarnya.

rujukan:

tazkirah Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat:Dewan Muslimat Sdn Bhd.Ogos 1997

MEMENUHI MASA MUDA UNTUK KEBAHAGIAN HARI TUA

Allah SWT menganugerahkan setiap hambanya masa dan peluang secara percuma.jesteru itu kita diminta untuk memenuhi masa yang dianugerahkan ini dengan sebaiknya dan memanafaatkan setiap apa yang diberikan dengan cara yang betul dan tidak menyalahi syariat yang ditetapkan. sekiranya kita lupa dan lalai dengan anugerah yang diberikan sudah tentu akan menanggung kerugian yang tidak terhingga.

Rasulullah s.a.w telah bersabda kepada seorang lelaki yang bermaksud:
"Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara yang lain, iaitu muda engkau sebelum datangnya hari tua, masa sihat engkau sebelum engkau dilanda sakit, masa kaya engkau sebelum engkau jatuh papa(miskin), masa lapang engkau sebelum datangnya waktu sibuk, dan masa hidup engkau sebelum datang saat kematian"

peringatan ini merupakan satu keuntungan tanpa modal yang dianugerahkan Allah SWT. jesteru itu, janganlah kita mensiakan masa dan peluang yang diberikan ini. setiap manusia yang diberi peluang dengan umur yang panjang sudah tentu dia akan melalui masa muda. masa muda itu diberi secara percuma tanpa diminta.

masa muda jangan dibiarkan berlalu dengan tanpa faedah dan manafaat kerana diusia mudalah kita mempunyai fizikal dan mental yang kuat untuk melakukan kebaikkan dan kebajikkan. Diusia muda jugalah kita dapat memenuhi dan mencari ilmu pengetahuan dan pengalaman yang yang akan diamal dan dimanafaat padamasa tua.

masa muda tidak bertahan dengan lama, pasti suatu masa usia yang muda akan menjangkau dewasa dan menjadi tua. setiap masa yang berlalu akan meninggalkan kita dan tidak akan kembali buat selama-lamanya. setiap kenangan yang ditinggalkan hanya menjadi satu kenangan samada manis mahupun pahit. kita akan berasa suka sekiranya masa muda diisi dengan menuntut perkara yang berfaedah dan kita akan merasa sebaliknya sekiranya masa muda tidak diurus dengan sempurna.

masa tua semuanya tidak indah kerana masa tua akan menghalang untuk melakukan perkara yang diingini. masa tua akan menjadikan kudrat tenaga menjadi lemah, selera makan menurun,
dan apa yang pasti masa tualah seseorang akan selalu ditimpa sakit. apabila perkara sedemikian berlaku barulah seseorang akan merasai bertapa rugi dan menyesalnya jika masa mudanya tidak digunakan sebijaknya. dan barulah seseorang itu sedar bertapa mahalnya masa muda yang diberikan percuma oleh Allah SWT.

Sebagai seorang mukalaf kita perlu percaya dan yakin bahawa masa yang dianugerahkan oleh pencipta akan ditanya dan dihitung samada di gunakan kepada kebaikkan dan ketaatan atau sebaliknya. Beruntunglah bagi sesiapa yang menjadikan masa mudanya untuk mencari ilmu dan amal keran sudah pasti masa tuanya penuh dengan kesyukuran dan ketenangan dari segi jiwa dan rohani. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

"Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. kemudian kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya. kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, maka bagi mereka pahala yang tiada putus-putus.
(At-Tin:4-6)